5,401 kotak minuman keras dirampas - Utusan Malaysia

5,401 kotak minuman keras dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN – Sebanyak 5,401 kotak minuman keras bernilai RM2.7 juta disyaki dibawa masuk dari China dirampas pada Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat awam yang memaklumkan mengenai sekumpulan lelaki sedang memunggah minuman keras dari sebuah kapal yang berlabuh di tepi Sungai Seguntor dekat sini ke dalam tiga buah lori dan dua kenderaan pacuan empat roda kira-kira pukul 11.30 malam.

Ujarnya, serbuan yang diketuai Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin, bersama empat pegawai dan sembilan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah itu kemudiannya menahan 19 lelaki terdiri 13 tempatan dan enam warga asing

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua suspek berusia 19 sehingga 59 tahun itu ditahan ketika mereka sedang memunggah minuman keras jenama ‘Sea Pearl’ dan ‘Tiger’ dari sebuah kapal besi bernama ‘MV Lee Ung’.

“Siasatan awal mendapati minuman keras itu sepatutnya dihantar ke Tawi-Tawi di selatan Filipina, namun kapal terbabit berpatah balik ke Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Ibu pejabat Polis Daerah Sandakan di sini.

Tambah Omar, soal siasat ke atas suspek mendapati kumpulan itu telah mengedar minuman keras bagi pasaran tempatan kerana mengelak dikenakan cukai import.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” jelasnya- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini