KUALA LUMPUR 4 Julai – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyokong usul kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun, namun dengan syarat ia disertakan usul pendaftaran secara automatik.
Dalam masa sama, sayap parti itu meminta supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan pada usia sama bagi memaksimumkan penglibatan anak muda dalam proses demokrasi dan pembinaan negara.
Hasrat Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin bersama barisan pembangkang itu juga telah dinyatakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam memperkukuh kesepakatan anak muda dan isu-isu berkaitan golongan itu dapat diselesaikan secara tuntas.
“DPPM mendukung penuh usaha ahli Parlimen Pas bersama barisan pembangkang membawa usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pendaftaran secara automatik warganegara Malaysia cukup umur 18 tahun dan usul pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun.
“Untuk itu DPPM akan menggerakkan usaha-usaha berikut iaitu penyatuan organisasi, badan-badan atau persatuan-persatuan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama di atas satu platform bagi memperkasa suara anak muda dalam membawa isu golongan ini.
“Mengadakan pertemuan dan perbincangan berkala bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menyelesaikan isu anak muda; melebarkan serta memperkukuh kerjasama politik bersama rakan daripada Gagasan Sejahtera, pembangkang dan Armada bagi meningkat kesedaran politik anak muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











