KUALA LUMPUR 4 Julai – Kerajaan akan mengadakan satu sesi dialog bersama pihak pengurusan dan guru di semua sekolah antarabangsa di Malaysia bagi berbincang secara terbuka mengenai industri minyak sawit sekali gus meningkatkan pemahaman mereka terhadap komoditi itu.
Tindakan itu adalah langkah proaktif kerajaan yang kesal terhadap sebuah video klip memaparkan sekumpulan kanak-kanak di sebuah sekolah antarabangsa membuat persembahan menunjukkan penanaman sawit kononnya telah menjejaskan habitat Orang Utan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok menegaskan pihaknya menghormati pandangan berbeza oleh sesiapa sahaja termasuk guru dan pelajar, namun baginya mereka juga perlu berfikiran terbuka untuk mendapatkan gambaran penuh keadaan sebenar.
“Sebelum ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah mengalami kesulitan dengan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang yang menolak tawarannya untuk menjalankan sesi kesedaran minyak kelapa sawit kepada para pelajar di sekolah.
“Saya ingin menjelaskan bahawa kritikan ini bukan percubaan untuk menahan kebebasan bersuara di sekolah rendah tetapi bagi menyatakan kekecewaan dan kesal atas kekurangan pemahaman mereka mengenai industri minyak sawit Malaysia, terutamanya mengenai usaha pemuliharaan dan kemapanan yang berterusan.
“Keterbukaan sedemikian akan membolehkan mereka memahami dengan lebih baik cabaran-cabaran yang dihadapi oleh petani kecil, usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan pemain industri kelapa sawit mengenai pelbagai isu termasuk yang berkaitan dengan peningkatan penanaman dan pemuliharaan lestari,” kata beliau dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini, video berdurasi seminit 10 saat itu memaparkan sebuah sekolah antarabangsa di bandar raya ini yang cuba menyemai kebencian dalam kalangan kanak-kanak mengenai penanaman sawit negara.
Tahun lalu, Kesatuan Eropah (EU) mengusulkan satu resolusi menghalang penggunaan bahan api bio yang berasaskan sawit kerana pembangunan tanaman itu dikatakan dilakukan secara tidak mampan dan mencemarkan alam sekitar. – UTUSAN ONLINE











