KUALA LUMPUR – Gara-gara membuang sampah di tepi jalan, lelaki warga asing yang tidak menyedari perbuatannya sedang diintip pihak berkuasa ditahan di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra, Jenjarum dekat sini pukul 3.40 pagi, baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A. Hamid, berkata, intipan pasukan anggota penguat kuasa membawa kepada penahanan lelaki yang membuang sebungkus besar sisa makanan dari kereta dipandunya.
“Intipan dan rakaman oleh anggota Penguat Kuasa Cawangan Bandar Saujana Putra pada pukul 12 tengah malam Sabtu lalu dilakukan selepas mendapati kawasan itu menjadi tempat pembuangan sampah,’’katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Zain berkata, lelaki tersebut dikenakan notis kesalahan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007 kerana membuang sampah di tempat tidak dibenarkan.
“Selain notis, kereta milik lelaki tersebut turut disita di bawah UUK 21(1), UUK Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap MDKL 2007,” katanya.
Sementara itu, soal siasat terhadap lelaki tersebut mendapati warga asing berkenaan merupakan pekerja kepada majikan yang pernah dikenakan tindakan notis kesalahan di bawah UUK 3, UUK Penjaja MDKL 2007 kerana meninggalkan peralatan selepas waktu perniagaan.
Tambahnya, MDKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemar alam sekitar dan tindakan lebih tegas iaitu pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pelaku sebagai pengajaran kepada semua.- UTUSAN ONLINE











