252 sertai simulasi haji cilik - Utusan Malaysia

252 sertai simulasi haji cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 4 Jul. – Seramai 252 ‘jemaah kecil’ daripada 10 cawangan Pusat Pendidikan Awal Little Caliphs Zon A Pahang mengikuti progran Simulasi Haji Cilik 2019 bertujuan memberi pendedahan awal secara praktikal kepada kanak-kanak berkaitan Rukun Islam kelima itu.

Program tahun kedua yang diadakan itu dibimbing oleh 29 guru pengiring yang bertindak sebagai mutawif untuk memberi pendedahan sebenar suasana sebelum dan ketika menunaikan simulasi ibadah haji.

Program yang bermula pada 8.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu memerlukan semua peserta memakai pakaian ihram supaya mereka merasai pengalaman sebenar mengerjakan haji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah program, Nurul Azra Qutubuddin berkata, kanak-kanak di Little Caliphs didedahkan dengan asas pendidikan agama seawal usia mereka empat tahun.

“Bagaimanapun, simulasi yang dianjurkan hari ini membabitkan kanak-kanak yang berusia enam tahun agar mereka memahami keadaan sebenar menunaikan haji sekali gus menanam keazaman untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini apabila dewasa kelak.

“Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga mereka seperti datuk dan nenek untuk mengerjakan ibadah haji, namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tujuan sera cara sebenar mengerjakan ibadah haji,” katanya selepas program Simulasi Haji 2019 yang dirasmikan oleh Imam Masjid Negeri, Datuk Badlishah Alauddin di sini hari ini.

Selain itu, beliau berharap simulasi tersebut dapat menanam semangat serta kefahaman pelajar mengenai konsep dan amalan ibadah haji terutama kebesaran Allah SWT.

Sementara itu, bagi Nur Azalina Nasarudin, 33, ibu kepada Muhammad Yasir Yaqzan Muhammad Sharuddin, 6, berkata, program seumpama itu sangat bagus dianjurkan sebagai pendedahan awal kepada kanak-kanak.

“Saya dan suami mengambil cuti semata-mata untuk melihat anak kami sebagai ‘jemaah haji’ dan teruja melihat dia berpakaian ihram.

“Semoga suatu hari nanti,kami sekeluarga benar-benar dijemput Allah SWT sebagai tetamu untuk menunaikan ibadah ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini