TANJONG KARANG – Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Klang-Teluk Intan petang semalam sempat membuat rumah terbuka minggu lalu.
Mohd. Hafiz Ahmad, 27, berkata, kedua-dua ibu bapanya, Ahmad Awang, 56, dan Hayati Mohd. Zain, 57, kelihatan ceria dan gembira apabila dapat bertemu saudara mara dalam majlis tersebut.
Katanya, ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap semasa rumah terbuka dengan kali terakhir dia melihat kedua orang tuannya beberapa jam sebelum kejadian kerana perlu ke tempat kerja.
“Tidak sangka kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila mereka meninggalkan kami pada penghujung Syawal.
“Kami sekeluarga pasrah dan reda akan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang, turut maut adalah Khmisah Saleh, 87 dan Norriyah Mohd. Zain, 61, yang merupakan nenek dan ibu saudara Mohd. Hafiz.
Keempat ahli keluarga itu maut selepas kereta Perodua Viva dipandu Allahyarham Awang hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit.
Mohd. Hafiz yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, berita kemalangan itu diterimanya daripada abang sulungnya pukul 2 petang.
“Nenek memang tinggal dengan kami sekeluarga sejak Aidilfitri lalu dan semasa kejadian ibu bapa dan makcik dalam perjalanan menghantar nenek pulang ke rumahnya,” katanya.
Jenazah Ahmad, Hayati dan Norriyah masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Tiga Setengah, Meru manakala Khmisah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, petang semalam. – K! ONLINE











