KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah berusia 14 tahun di sini cedera pada bahagian kepala dan badan akibat menjadi mangsa buli di sekolah itu petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa dipukul oleh seorang pelajar lelaki lain, manakala beberapa lagi pelajar sekolah itu merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.
Kosmo! Online difahamkan, insiden buli itu berlaku di sebuah kawasan letak motosikal berhampiran bangunan asrama warden sekolah itu.
Mangsa terlebih dahulu dipanggil ke lokasi kejadian oleh seorang rakannya memaklumkan seorang pelajar lelaki lain mahu meminta maaf daripadanya disebabkan perselisihan yang berlaku antara mereka.
Bagaimanapun, mangsa telah diserang oleh pelajar yang didakwa mahu memohon maaf daripadanya itu sehingga terjatuh sebelum ditumbuk pada kepala bertubi-tubi dan belakang badannya ditendang.
Berdasarkan rakaman video insiden itu yang tular di media sosial, pelajar lain yang menyaksikan kejadian tersebut kedengaran bersorak dan menghasut pelajar lelaki itu supaya memukul dan menyepak kepala mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu malam tadi.
Menurut beliau, laporan polis berhubung insiden itu dibuat oleh mangsa yang ditemani oleh ibu bapanya di Balai Polis Seri Menanti pada pukul 10.52 malam.
“Polis akan memanggil beberapa pelajar sekolah berkenaan bagi membantu siasatan. Setakat ini kami dapati cuma seorang pelajar memukul mangsa dan terdapat pelajar lain berada di tempat kejadian,” katanya. – K! ONLINE











