OCBC-CGC tawar pembiayaan RM250j - Utusan Malaysia

OCBC-CGC tawar pembiayaan RM250j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) dan OCBC Malaysia menerusi skim Jaminan Borong (WG) menawarkan pembiayaan tidak bercagar baharu bernilai RM250 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tempoh dua belas bulan akan datang.

Program pembiayaan yang memasuki tahun kelima itu akan menjadikan jumlah yang diagihkan sehingga pertengahan tahun depan kepada RM1.64 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, sebanyak RM200 juta disalurkan daripada OCBC Bank dan RM50 juta daripada OCBC Al-Amin akan diagihkan kepada 1,000 akaun PKS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, nisbah risiko pem­bia­yaan dikongsi bersama antara CGC dan OCBC Malaysia untuk tempoh jaminan 4 tahun, tanpa perjanjian ini, seluruh risiko ditanggung oleh pihak bank.

“Skim WG melepaskan OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) daripada beban modal di bawah Basel II dan pada masa yang sama memberikan jaminan tambahan terhadap pendedahan kepada PKS Malaysia.

“Ini seterusnya membolehkan OCBC dan OCBC Al-Amin menyediakan pembiayaan kepada lebih banyak PKS Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, OCBC Malaysia menyalurkan RM1.39 bilion dalam bentuk pembiayaan tidak bercagar menerusi skim kerjasama tidak bercagar dengan CGC, khususnya dalam industri termasuk peruncitan, pemborongan dan pembuatan. Tranche pertama disediakan pada April 2014 menerusi OCBC Al-Amin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin berkata, OCBC Bank berminat untuk menyedia­kan tranche baharu WG seiring permintaan semakin bertambah daripada PKS untuk pilihan pembiayaan tidak bercagar bagi memenuhi keperluan pembia­yaan perniagaan jangka pendek hingga pertengahan.

“Secara umum, pembiayaan bertempoh memerlukan satu bentuk cagaran dan proses kelulusan yang teliti. WG dirangka untuk mengenepikan keperluan ini supaya perniagaan berdaya maju boleh memanfaatkan pembiayaan jangka pendek hingga pertengahan,” katanya.

“Syarikat-syarikat yang memohon kemudahan ini dijangka menerima kelulusan dalam masa seminggu. Yuran pempro­sesan, jaminan CGC, penyata kewangan atau dokumen berkanun tidak diperlukan apabila memohon. Di samping itu, tiada denda untuk pembayaran awal dan syarat tempoh tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini