JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memindahkan lima ekor lembu tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ), April lalu.
Majistret Rashidah Baharom turut memerintahkan Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Jamil Anuar, 32, menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Jamil didakwa membawa lima ekor lembu hidup menggunakan sebuah lori tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengaruh JPVNJ atau wakilnya.
OKS dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan di KMJ10 Jalan Kong Kong, Pasir Gudang di sini pada pukul 12.45 tengah hari, 4 April 2019 sebagai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut negeri Johor 2005.
Mohd. Jamil didakwa telah melanggar peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Johor 2005 (J.P.U 10) dan boleh dihukum di bawah sub-seksyen 36(7), Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452).
Jika sabit kesalahan OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPVNJ, Mohd. Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd. Jamil dalam rayuannya memohon agar pihak mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pendapatannya sebagai pemandu lori selain menanggung keluarganya.
Mohd. Faiz bagaimanapun membantah agar mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan kesalahan ini melibatkan kepentingan awam serta sebagai pengajaran dalam mengawal penyakit kuku dan mulut daripada merebak. – K! ONLINE











