64 peratus kes pelacuran sudah dituduh di mahkamah - KP Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

64 peratus kes pelacuran sudah dituduh di mahkamah – KP Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah menjalankan sebanyak 653 serbuan terhadap kegiatan pelacuran sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebanyak 420 kes atau 64 peratus daripada 653 serbuan tersebut telah berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Katanya, sepanjang tempoh operasi dijalankan, sebanyak 1,401 orang warga asing telah ditangkap dengan pecahan sebanyak 234 lelaki dan 1,167 wanita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Warganegara Vietnam merupakan jumlah terbesar yang ditangkap iaitu sebanyak 317 orang, diikuti Thailand (275) dan China (227).

“Dalam tempoh yang sama, kita turut membuat sebanyak 569 tangkapan ke atas warga tempatan yang terdiri daripada 242 wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran serta 327 lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis yang menjalankan kegiatan pelacuran ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 136 saman juga telah dikeluarkan terhadap premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan.

Sementara itu, Mazlan berkata, selain kegiatan pelacuran, Polis Kuala Lumpur juga giat memerangi kegiatan perjudian atas talian apabila sebanyak 8,836 pemeriksaan telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur yang mana sebanyak 89 serbuan telah berjaya dibuat dengan tangkapan sebanyak 794 orang.

“Menerusi serbuan-serbuan ini juga, sebanyak RM98,357 wang tunai telah dirampas, di samping 111 tablet, 1,100 buah telefon bimbit, 333 komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router, tiga ipad serta tiga simulator.

“Bagi lain-lain jenis perjudian juga kita telah membuat sebanyak 280 serbuan melibatkan 388 tangkapan serta rampasan wang tunai berjumlah, RM97,393 sepanjang Januari hingga Jun 2019,” jelasnya.

Tambahnya, pihak polis akan mengenalpasti dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang pencegahan jenayah sedia ada terhadap tauke judi dan orang tengah dalam usaha memerangi perjudian atas talian selaras dengan kehendak pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian atas talian dan kegiatan pelacuran kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

“Bagi mereka yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini