AGM KOM tidak ikut prosedur? - Utusan Malaysia

AGM KOM tidak ikut prosedur?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Belum seminggu bahtera kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjalankan tugas, kini mereka bakal berdepan ombak besar apabila ada dakwaan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, Ahad lalu tidak sah sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung status kesemua calon yang memenangi jawatan dipertandingkan bagi penggal 2019-2022.

Salah seorang pemerhati bebas sewaktu pemilihan AGM KOM 2019-2022, Datuk Mohd. Musa Noor Mohd. tampil berani menyuarakan pandangannya, malah mempertikaikan perjalanan mesyuarat yang dilihatnya amat janggal, selain kecewa terhadap bekas presiden badan induk itu, Datuk Karim Ibrahim kerana tidak peka dengan situasi tersebut.

Bukan itu sahaja, beberapa ahli perwakilan KOM yang hadir turut bersetuju dengan pandangan Mohd. Musa sekali gus menguatkan dakwaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Musa yang juga bekas Pengarah Pusat Prestasi Tinggi Olahraga Asia (HPTC) berkata, dia sendiri akan menghantar surat bantahan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada Jumaat ini bagi meminta badan berkuasa berkenaan melakukan siasatan dan tindakan lanjut.

“Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam isu ini cuma saya terpanggil untuk mendedahkan kerana mendapati ada kelemahan dalam AGM KOM yang berlangsung, baru-baru ini.

“Saya melihat ia bermula dengan pemilihan terlebih dahulu, malah cadangan pembubaran pentadbiran lama yang dikemukakan Sallehuddin Satar selaku wakil Johor tidak diendahkan sekali gus bermakna ketika ini ada dua Presiden, dua Timbalan Presiden dan lapan Naib Presiden.

“Paling pelik apabila pengerusi pemilihan sementara iaitu Datuk Sieh Kok Chi secara tiba-tiba mengetuai proses pemilihan tanpa ada cadangan dan sokongan untuk dia menjalankan tugasnya.

“Selepas pemilihan berlangsung, Presiden lama, Datuk Karim pula yang masih mempengerusikan AGM, apa semua ini? Ini semua tidak tepat, kelam-kabut malah ada beberapa ahli perwakilan juga sependapat dengan saya, cuma mereka tidak berani untuk bersuara.

“Bayangkan sebuah badan induk sukan negara seakan ambil mudah perkara ini terutama dalam bab pengurusan dan pentadbiran, apakah mereka mampu membawa kecemerlangan kepada olahraga negara yang meliputi 13 ahli gabungan,” kata Mohd. Musa.

Ketika ini, Mohd. Musa yang juga orang lama dalam olahraga masih lagi aktif di peringkat negeri, selain menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Olahraga Daerah Temerloh serta Jawatankuasa Teknikal Majlis Sukan Pahang.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Olahraga Kelantan, Mohammad Awang Samsuddin berkata, dia juga mengakui berasa pelik semasa pemilihan AGM 2019-2022 kerana tidak berlangsung seperti kebiasaan.

“Semuanya nampak pelik apabila tidak ada pembubaran berlaku sebelum pemilihan berlangsung. Saya berpendapat jika berlaku situasi sebegini perlu ada penjelasan daripada pihak sewajarnya,” katanya.

Dalam pemilihan AGM KOM 2019-2022 pada Ahad lalu menyaksikan Datuk S.M Muthu di­pilih sebagai presiden baharu badan induk berkenaan selepas mendapat 21 undian menewaskan Karim yang memperoleh 18 undian, manakala Timbalan Presiden KOM dimenangi Datuk Paduka Mumtaz Jaafar selepas menang tanpa bertanding.

Empat Naib Presiden KOM yang baharu ialah Datuk Mark Willeam, Josephine Kang, Rajemah Sheikh Ahmad dan Datuk Fadzil A. Bakar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini