PBMM undang MIFA sertai Piala Emas Raja-Raja - Utusan Malaysia

PBMM undang MIFA sertai Piala Emas Raja-Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) mengambil pendekatan proaktif dengan mengundang Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019.

Penyertaan julung kali MIFA pada kejohanan memasuki edisi ke-79 itu, demi landskap bola sepak yang mencerminkan semangat perpaduan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM, Datuk Kamarulnizam Sharip berkata, PERR sentiasa terbuka kepada pasukan bukan Melayu seperti MIFA, namun, mereka diwajibkan mengikuti syarat ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejohanan ini saban tahun mendapat sambutan sangat menggalakkan dan edisi kali ini, kami membuka penyertaan kepada persatuan bukan Melayu, dan penyertaan terbaharu kali ini daripada MIFA,” katanya pada sidang akhbar PERR ke-79 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.

Pada saingan itu, MIFA diletakkan syarat untuk menggunakan khidmat tiga pemain Melayu dengan seorang daripadanya wajib berada dalam kesebelasan utama pasukan sepertimana diguna pakai Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) yang bakal memasuki penyertaan ketiganya pada edisi 2019.

“Mereka (MIFA) menunjukkan minat sama seperti MCFA, namun pasukan berkenaan perlu mematuhi peraturan sepertimana ditetapkan,” kata Kamarulnizam.

PERR bakal membuka tirai dengan aksi Piala Agong, melibatkan juara berganda Pahang bertemu naib juara PERR musim lepas, Terengganu pada 6 atau 7 September, namun venue perlawanan masih belum diputuskan.

Sementara itu, Kedah dipilih menjadi venue rasmi PERR 2019 yang bakal berlangsung selama sebulan dan melibatkan enam padang di Universiti Utara Malaysia, dua sekitar Jitra dan satu di Langkawi.

Juara PERR ke-79 itu akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM40,000, manakala naib juara membawa pulang RM20,000. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini