KUALA LUMPUR 3 Julai – Haziq Abdullah Abdul Aziz didapati telah melanggar kod tataetika sebagai anggota parti.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR , Datuk Ahmad Kassim,Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Lembaga Disiplin Parti bermesyuarat petang tadi sebaik sahaja menerima surat jawapan daripada Haziq susulan diarahkan berbuat demikian pada 19 Jun lalu.
Antara sebab tindakan sedemikian diambil adalah, beliau telah membuat tuduhan secara terbuka terhadap pemimpin parti berkenaan salah laku rasuah tanpa memberikan bukti.
“Selain itu, hal-hal lain (berkaitan video seks) pihak lembaga disiplin menunggu hasil siasatan polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini, hari ini.
Haziq Abdullah yang merupakan Ketua AMK Santubong mengaku sebagai individu bersama seorang lagi yang mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam video seks songsang itu.
Bagaimanapun ramai pihak termasuk pemimpin daripada parti pembangkang menggesa Mohamed Azmin untuk mengeluarkan saman bagi menafikan penglibatannya dalam video seks songsang itu.
Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat pemecatan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu akan disahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas tindakan pemecatan Haziq, beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengambil sebarang tindakan atau membuat spekulasi sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan.
“Ini adalah soal yang diputuskan lembaga disiplin dan perlu dilihat sebagai sebuah badan bebas bukan boleh memihak kepada sesiapa sebab itu keputusan dibuat atas tuduhan rasuah bukan sebab lain.
“Yang lain itu terserah kepada polis,“ katanya. – UTUSAN ONLINE











