JAKARTA 3 Julai – Kegembiraan seorang bekas guru sementara di Surabaya ‘berjoli’ hasil jualan perkakas komputer yang dicurinya dari sekolah tempatnya mengajar tidak berpanjangan selepas dia diberkas polis, baru-baru ini.
Lapor Tribun News, suspek yang dikenali sebagai Subagio Maulana, 27, berjaya meraih kira-kira 4 juta rupiah (RM1,170), hasil jualan barang curi yang dijual dengan harga murah menerusi platform perniagaan dalam talian.
Menurut jurucakap polis Sawahan, Subagio berjaya melarikan perkakasan komputer dari dua buah sekolah selepas memiliki kunci pendua serta memecah masuk premis terbabit pada waktu yang berbeza.
Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati suspek itu mencuri 13 unit pemprosesan pusat (CPU), monitor (3) dan sebuah projektor.
Bagaimanapun polis tidak dapat mengesan barangan yang telah dijual itu.
Ketika keterangan direkodkan, suspek mengakui yang dia menjual satu unit CPU yang harga asalnya 11 juta rupiah (RM3,200) pada harga 1.6 juta rupiah (RM468) sahaja.
“Saya dapat kira-kira 4 juta rupiah (RM1,170) dan wang itu saya gunakan untuk perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini,” katanya kepada polis.
Subagio berkata, kejadian pertama berlaku di Sekolah Dasar Petemon, Surabaya dan dia berjaya melarikan lima unit CPU dan tiga buah monitor manakala insiden kedua berlaku di Sekolah Dasar Banyu Urip IX, Surabaya sebulan kemudian.
Guru itu dilaporkan digantung tugas selama sembilan bulan bagi memberi laluan kepada siasatan yang dilakukan ke atasnya. – AGENSI











