WASHINGTON 3 Julai – Pentagon menganggap ujian peluru berpandu China yang dilancarkan di Laut China Selatan (LCS) baru-baru ini sebagai membimbangkan dan bertentangan dengan ikrar Beijing yang tidak akan menjalankan aktiviti ketenteraan di wilayah pertikaian berkenaan.
Lapor Channel News Asia, seorang jurucakap kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata, China menguji beberapa peluru berpandu balistik anti-kapal pada hujung minggu lalu.
Katanya, Pentagon menyedari ujian peluru berpandu itu dilancarkan dari struktur pulau buatan manusia di Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Spratly.
“Saya tidak akan bercakap bagi pihak semua negara berdaulat di rantau ini tetapi saya pasti mereka bersetuju perbuatan China bertentangan dengan hasrat Beijing yang mahu membawa keamanan ke rantau ini.
“Malah, perbuatan seperti ini jelas merupakan tindakan paksaan bertujuan untuk menakutkan negara penuntut kawasan (Laut China Selatan),” katanya.
Isu Laut China Selatan adalah salah satu daripada titik punca yang bakal menjejaskan hubungan antara Amerika Syarikat AS dan China termasuk membabitkan perang dagang, sekatan dan Taiwan.
Laut China Selatan merupakan laluan bagi aktiviti perdagangan antarabangsa yang bernilai AS$5 trilion (RM20.6 trilion) setiap tahun.
Selain China, Laut China Selatan turut dituntut Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam. – AGENSI











