KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas kepalanya digilis sebuah lori dalam kejadian di kilometer 17.7 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat Subang Jaya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, mangsa, Hazlan Abu Hassan, 57, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Plaza Tol Sunway menghala ke Kelana Jaya.
“Motosikal mangsa kemudian dipercayai bergesel dengan sebuah kereta yang tidak dikenalpasti mengakibatkannya terjatuh.
“Dalam masa yang sama, sebuah lori yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azman, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN ONLINE











