KUALA LUMPUR 3 Julai – Pasaran ekuiti Malaysia dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berada hampir pada paras 1,700 mata, menurut UOB Asset Management (Malaysia) Bhd. (UOBAM Malaysia).
Ketua Pegawai Pelaburan Francis Eng berkata indeks petunjuk pasaran naik 3.8 peratus sejak 16 April, antara lain disebabkan dasar yang lebih jelas berbanding tempoh 12 bulan lepas, aliran masuk asing yang meningkat serta manfaat yang berpotensi daripada lencongan perdagangan dan keadaan ekonomi yang berdaya tahan.
“Apa yang penting ialah melihat kepada prospek pasaran Malaysia. Pasaran tidak akan merosot atau naik selama-lamanya, dan ideanya ialah cuba memanfaatkan kitaran ini.
“Kami berpendapat ia merupakan peluang yang baik untuk mula meninjau pasaran Malaysia berikutan kami berprestasi rendah,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas pelancaran dana aset bercampur UOBAM, United Malaysia Fund.
Eng berkata pasaran turut mendapat rangsangan antaranya daripada pelaburan langsung asing yang kukuh, pelaksanaan semula projek mega kerajaan dan cadangan pengambilalihan lebuh raya tol.
Beliau berkata kejutan yang positif daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk prestasi Telekom Malaysia Bhd. yang lebih baik dan cadangan penggabungan antara Axiata Group Bhd. dan Telenor ASA, turut menyokong prestasi indeks petunjuk pasaran.
“Sebahagian besar daripada komponen FBM KLCI adalah GLC, dan jika GLC mencatat prestasi yang baik, ia akan meningkatkan indeks secara keseluruhan,” katanya.
Eng berkata ketidaktentuan pasaran, berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, akan berterusan, bagaimanapun, pemilikan asing yang rendah di Bursa Malaysia pada masa ini akan membantu mengehadkan risiko penurunan, jika pelabur memutuskan untuk keluar daripada pasaran.
“Ini bermakna, pasaran dengan pegangan asing yang amat tinggi lebih berisiko jika pelabur asing memutuskan untuk keluar daripada pasaran,” katanya.
Bagi unjuran ekonomi, UOBAM menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 4.6 peratus, manakala ringgit akan berada antara paras 4.10 dan 4.20 pada separuh kedua 2019.
Eng berkata ringgit pada masa ini berada di bawah nilai, antara lain menerima tekanan daripada laporan berita mengenai rasuah.
Sementara itu, United Malaysia Fund dengan pelaburan minimum permulaan sebanyak RM1,000 menyasarkan pelabur runcit yang ingin memanfaatkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dengan kebimbangan meningkat mengenai ekonomi global yang lembap.
Ketua Pegawai Eksekutif Lim Suet Ling Eng berkata dana itu bertujuan memberi pelabur pendapatan dan modal yang meningkat dengan melabur dalam portfolio ekuiti yang pelbagai, sekuriti berkaitan ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan penempatan deposit dengan institusi kewangan. – BERNAMA











