‘Tangkaplah, kami tidak takut’ - Utusan Malaysia

‘Tangkaplah, kami tidak takut’

KUMPULAN pelajar berhimpun di Bangkok, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: ‘Tangkaplah kami, tahanlah kami, kami tidak akan berganjak, reformasi perlu diteruskan. 

Demikian laungan puluhan ribu penunjuk perasaan yang berhimpun secara besar-besaran buat hari kelima di Monumen Kemenangan, di sini semalam.

Biarpun pihak berkuasa negara ini mula menahan beberapa ketua demonstrasi berprofil tinggi sejak minggu lalu, keadaan itu masih tidak menghalang demonstrasi besar-besaran diadakan secara lantang.

Penunjuk perasaan anti kerajaan mendesak supaya Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha meletak jawatan segera, selain menggesa undang-undang fitnah yang melindungi kerabat diraja negara ini daripada sebarang kritikan dihapuskan.

 

Kuasa media sosial

Tunjuk perasaan yang berlaku di Thailand ketika ini bermula dengan kewujudan beberapa laman Facebook yang pada mulanya dijadikan hab perbincangan mengenai pentadbiran dan politik negara ini

Laman tersebut kemudiannya menjadi perhatian golongan aktivis anti kerajaan yang mendesak supaya reformasi monarki dilakukan segera.

Sejak itu, kumpulan gerakan anti kerajaan menggunakan Facebook serta Instagram untuk menyalurkan segala maklumat mengenai demonstrasi serta perhimpunan yang bakal diadakan bagi menyuarakan pandangan mereka.

Satu daripada laman Facebook yang aktif memperjuangkan agenda reformasi Thailand termasuk Free Youth.

Malah, lokasi untuk mengadakan demonstrasi juga telah diputuskan menerusi undian di laman media sosial, sehingga polis gagal mengesannya dari awal.

Pengguna media sosial di negara ini juga aktif menggunakan tanda pagar sebagai kempen perjuangan reformasi mereka.

 

Polis gesa patuh peraturan

Dalam pada itu, pasukan polis Thailand menyifatkan siri tunjuk perasaan yang diadakan di Bangkok sejak lima hari lalu sebagai ‘dinamik’ dan sekadar memberi amaran supaya tidak bertindak berlebihan.

Jurucakap polis, Kissana Phathanacharoen memberitahu tunjuk perasaan yang diadakan masih terkawal biarpun jumlah peserta semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Apa yang kami lakukan ketika ini adalah memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak melakukan perkara di luar kawalan yang boleh mencetuskan kekecohan,” katanya.

Polis menganggarkan kira-kira 20,000 penunjuk perasaan memenuhi bandar raya ini semalam.

 

Persidangan khas di Parlimen

Dalam pada itu, Prayuth memaklumkan Parlimen akan melakukan persidangan khas bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik untuk meredakan keadaan.

“Saya berharap semua penunjuk perasaan supaya berdemo secara aman. Kerajaan kini mempertimbangkan beberapa desakan yang sudah disuarakan,” katanya.

Selain mendesak reformasi, penunjuk perasaan juga menggesa supaya pihak berkuasa negara ini membebaskan semua aktivisi antikerajaan yang ditahan.

Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Chuan Leekpai juga dijangka mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan kerajaan dan wakil pembangkang pada Jumaat ini.

 

Tetap sokong monarki

Sementara itu, Prayuth juga sekeras-kerasnya menolak desakan penunjuk perasaan supaya menghapuskan undang-undang fitnah yang melindungi kerabat diraja Thailand daripada sebarang kritikan.

Beliau menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab semua penduduk di negara ini menghormati dan melindungi sistem monarki.

“Inilah tugas untuk semua rakyat Thailand iaitu melindungi dan menghormati sistem monarki kita,” ujarnya. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×