Kerajaan akan bertemu Irfan Wafiy - Utusan Malaysia

Kerajaan akan bertemu Irfan Wafiy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 3 Julai- Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan menghidap penyakit Myo Kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat tentang masalah sebenar yang dihadapi Irfan Wafiy.

“Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan juga sentiasa memantau keadaan adik Irfan Wafiy.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan adakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat, akan pastikan apa yang mereka perlukan dan lihat apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.

Terdahulu Utusan Online melaporkan kesusahan hidup Irfan Wafiy iaitu murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia di sini yang dahulunya riang berubah apabila dia disahkan menghidap penyakit saraf, Myo Kimia.

Menurut ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, Irfan Wafiy tidak boleh berjalan dengan betul sebaliknya terpaksa melangkah perlahan-lahan dan kadang-kadang terpaksa menyeret kakinya.

Irfan Wafiy merupakan antara mangsa yang paling teruk kesan daripada pencemaran itu contohnya apabila berjalan terlalu lama, kedua-dua belah kakinya akan cepat letih, lenguh, sakit dan menggigil terutama kaki kiri serta tidak boleh lagi berlari.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini