SEREMBAN – Seorang pesakit mental cuba memasuki Kem Rejimen 508 Askar Wataniah dekat sini dengan menyamar sebagai anggota tentera berpangkat sarjan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak berkata, lelaki berusia 26 tahun itu namun gagal memasuki kem tersebut selepas ditahan anggota tentera yang mengawal pintu masuk kem berkenaan.
“Dia mahu memasuki kem itu, tetapi ditahan oleh pengawal bertugas. Pihak tentera selanjutnya menghubungi pihak polis dan anggota polis yang tiba di kem itu membawanya ke Balai Polis Jalan Campbell.
“Siasatan polis mendapati lelaki itu merupakan seorang pesakit mental yang mempunyai rekod perubatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Rosli berkata, pihak polis seterusnya membawa lelaki itu ke HTJ dan selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan, lelaki tersebut ditempatkan di wad psikiatri oleh pihak hospital.
Maklumat yang tular di media sosial mendakwa pesakit mental itu menyamar sebagai anggota tentera dari Kor Risik Diraja dan berpakaian kemas termasuk memakai tali leher semasa mahu memasuki kem berkenaan.
Lelaki itu didakwa menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil datang ke kem tersebut dan meletakkannya di luar kawasan kem sebelum berjalan kaki ke pos pengawal. – K! ONLINE











