Empat sindiket jenayah terancang dikenal pasti - Utusan Malaysia

Empat sindiket jenayah terancang dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti empat sindiket jenayah terancang yang menjadi dalang penglibatan barang seludup seperti rokok, arak, dadah dan hasil hutan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sindiket itu terdiri daripada rakyat tempatan yang mempunyai keupayaan kewangan untuk menyeludup barang dalam skala yang besar.


“Polis kini menjalankan risikan bagi mengenal pasti individu utama yang mendalangi sindiket berkenaan bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil.

Memuatkan artikel berkaitan…


“Sukar untuk dibuktikan keberadaan sindiket-sindiket ini dalam aktiviti penyeludupan mereka kerana mereka mengupah rakyat tempatan dan warga asing dengan memberi arahan dari jauh,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.


Menurut Acryl Sani, mereka tidak akan berada di lokasi ketika kegiatan penyeludupan itu dijalankan sekaligus menyukarkan polis untuk mendakwa mereka.

Jelasnya, pasukannya akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk merampas harta-harta, dipercayai hasil kegiatan mereka.


“Mereka juga menggajikan rakyat tempatan dan sebahagian kecil warga asing bagi menampung sokongan logistik seperti penghantaran barang-barang seludup, penyimpanan di stor-stor dan juga pengedaran barangan seludup,” katanya.


Acryl Sani memberitahu, sindiket berkenaan dipercayai terdiri daripada mereka yang ingin mengelak cukai yang dikenakan, selain terdapat juga barang-barang terlarang yang diseludup seperti jenama rokok yang dilarang penjualannya di negara ini.


“Perkara itu menyebabkan kerugian yang besar kepada negara, kerana jualan rokok yang sahih telah jatuh dan menjejaskan kutipan cukai kepada negara,” ujarnya.

Tambahnya, bilangan rokok yang masuk ke negara terlalu besar jumlahnya dan ini memberi implikasi kepada perokok-perokok sama ada rokok-rokok itu dibuat mengikut piawaian kesihatan yang dibenarkan atau sebaliknya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini