KUALA LUMPUR 3 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris menggesa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan bagi mengelakkan lebih banyak video seks songsang tersebar.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Papagomo berkata, penyebaran video terbaharu hari ini sudah kelihatan semakin menjijikkan dan tindakan segera perlu diambil bagi menghentikan segera penularan video seks tersebut.
“Satu demi satu klip video yang dikaitkan dengan ‘Azmin’ tersebar sejak tiga minggu lalu. Hari ini keluar pula klip video di hotel yang menampakkan wajah Haziq Abdullah Abdul Aziz dan juga Hilman Idham iaitu orang kanan Mohamed Azmin.
“Kejijikan ini tidak boleh dijadikan liputan media kerana memalukan Malaysia di mata dunia. Saya sarankan Mohamed Azmin meletakkan jawatan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi kerana saya percaya klip susulan video tersebut tidak akan disebarkan oleh pihak satu lagi sekiranya beliau mengambil langkah sedemikian.
“Inilah kehendak pihak yang menyebarkan klip video itu dan inilah juga kenyataan daripada Haziq iaitu individu yang mengesahkan dia bersama Azmin dalam klip video tersebut. Saya amat risau jika pihak satu lagi mengeluarkan video penuh aksi adegan seks yang akan lebih memalukan negara di mata dunia apatah lagi melibatkan pemimpin Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











