Polis bantuan, tukang cuci cemas terperangkap lebih 30 minit dalam lif  - Utusan Malaysia

Polis bantuan, tukang cuci cemas terperangkap lebih 30 minit dalam lif 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Seorang polis bantuan lelaki dan seorang tukang cuci wanita berhadapan detik-detik cemas apabila mereka berdua terperangkap di dalam lif di tingkat bawah tanah Stesen Keretapi Kuala Kangsar di sini pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 20-an dan 40-an bagaimanapun berjaya diselamatkan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.12 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa masih terperangkap di dalam lif di bangunan dua tingkat itu kerana ia tersangkut di tingkat bawah tanah. 

“Tiada jalan untuk mereka keluar dan bomba terpaksa mengeluarkan mereka dari bahagian atas lif tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Taufiq, anggota dan pekerja teknikal lif kemudian membuka ruang pengudaraan di bahagian atas lif bagi membolehkan mangsa bernafas. 

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari bahagian atas dengan menggunakan tali dan mereka ditarik naik ke atas selepas kira-kira 30 minit terperangkap. 

“Lif berkenaan ditutup kepada orang awam buat masa ini dan kerja-kerja selenggara perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dapat digunakan semula,” katanya. 

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.40 pagi. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini