KUALA TERENGGANU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan jangan gopoh menyindir penyatuan ummah di antara UMNO dan Pas di Terengganu hingga meminggirkan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, menyelami denyut nadi rakyat adalah lebih berbaloi berbanding sikap kalangan pemimpin parti itu yang sentiasa berpolitik sepanjang masa untuk kepentingan sendiri.
Katanya, kenyataan Pengerusi Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris yang seolah-olah tidak sabar-sabar menunggu penggabungan dua parti teras Melayu-Islam itu semalam jelas memperlihatkan sikap sebenar seorang bekas ahli UMNO yang lari daripada perjuangan.
“Ta’awun siyasi bukan dibuat berlandaskan keputusan individu seperti membenci pemimpin sendiri atau kepentingan peribadi seperti takut kehilangan projek dan mata pencarian, tetapi ia adalah berasaskan kehendak rakyat dan kepentingan negara.

“Beliau (Razali) tidak perlu bimbang sokongan dan kesetiaan ahli UMNO kepada pucuk pimpinan parti kerana kita akan bekerja lebih kuat di seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Terengganu bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) hangus deposit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Razali membuat andaian di sebalik penyatuan itu, penyokong fanatik Pas dan UMNO akan keluar meninggalkan parti masing-masing sekali gus memberi sokongan kepada PH khususnya Bersatu di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.
Tengku Haphiz berkata, tahap pemahaman politik Bersatu masih di takuk lama apabila menuduh tiada kesepakatan tentang pembahagian kuasa di peringkat negeri dan bawahan, sedangkan, proses pelaksanaan persefahaman politik itu akan berlaku tidak lama lagi setelah perjanjian rasmi di peringkat Pusat diselesaikan.
“Saya sangat percaya, Pas dan pihak kerajaan negeri akan menjadikan Terengganu sebagai contoh ta’awun siyasi yang berjaya kerana Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presidennya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu adalah dalam kalangan Pas Terengganu.
“Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said telah menyatakan pendirian lebih awal sebelum ini bahawa kita bersedia membantu kerajaan negeri terutama dalam soal menambah pendapatan dan kecekapan pengurusan,” katanya.
Tengku Haphiz menarik perhatian, sokongan rakyat terhadap UMNO ketika ini sangat memberangsangkan dan sejak Februari lalu, hampir 1,000 ahli baharu direkodkan dengan 80 peratus daripadanya adalah dalam kalangan anak muda. – UTUSAN ONLINE











