Lapangan terbang persendirian di Kuala Klawang tiada kelulusan CAAM - Utusan Malaysia

Lapangan terbang persendirian di Kuala Klawang tiada kelulusan CAAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU – Lapangan terbang kecil yang beroperasi di tanah persendirian di Kuala Klawang di sini sejak dua tahun lalu tidak mempunyai kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengendalikan penerbangan.

Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kewujudan lapangan terbang tersebut.

“Ini baru pertama kali kami melihat lapangan terbang itu dan kami akan laporkan semula kepada CAAM untuk melakukan semakan. Setakat ini yang kami tahu ia tiada kelulusan CAAM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun pembinaan lapangan terbang itu di atas tanah persendirian, tetapi sebarang aktiviti penerbangan perlu mendapat kebenaran CAAM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian sebuah pesawat ringan jenis Technam yang berlepas dari lapangan terbang itu sebelum terhempas di sebuah bekas lombong pasir di Titi dekat sini pada 29 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang rakyat tempatan yang menaiki pesawat itu cedera dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Mengulas insiden berkenaan, Yahaya berkata, lelaki warga AS berusia 60 tahun yang menerbangkan pesawat itu mendakwa pesawat berkenaan terhempas selepas hilang kawalan akibat angin terlalu kuat.

Pesawat terhempas di Jelebu
YAHAYA ABDUL RAHMAN  (kiri) bersama Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Inspektor Mohd. Fauzi Md. Yasin melihat lokasi sebuah pesawat ringan jenis Technam yang terhempas pada 29 Jun lalu di Titi, Jelebu hari ini. – UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Menurutnya, lelaki itu mempunyai Private Pilot License (PPL) untuk menerbangkan pesawat di Malaysia dan kini berada dalam keadaan stabil.

Jelas beliau, warga AS itu terlebih dahulu berlepas dari lapangan terbang di Subang menaiki pesawat ringan lain sebelum menukar pesawat di lapangan terbang kecil berkenaan.

“Penerbangan dari Subang mendapat kelulusan CAAM, tetapi penerbangan pesawat ringan yang terhempas itu tidak dilaporkan kepada CAAM,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah mengambil keterangan lima individu termasuk dua mangsa terbabit untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya di bawah bidang kuasa CAAM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini