GUA MUSANG – Polis menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di Kilometer 60, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini kelmarin.
Tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan di sebuah ladang sayuran di Tanah Tinggi Lojing, kira-kira pukul 2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, tiga lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Kita yakin dengan tangkapan tiga lelaki itu dapat membantu siasatan kes bunuh terbabit. Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang Isnin lalu, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun ditemui mati dalam kereta Proton jenis Gen 2 yang dipandunya.
Mangsa, Md. Momrag Khan berusia 39 tahun yang beralamat di Tanjung Karang, Selangor ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu dengan kesan kelar di bahagian leher.
Orang awam memberitahu terdapat sebuah kenderaan telah menghalang lalu lintas berhampiran simpang jalan Pos Hendrop dan mendapati seorang mangsa lelaki warga asing telah mati dalam keadaan berlumuran darah. – K! ONLINE











