KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembinaan kerugian sebanyak RM239,900 apabila dipecah masuk dua individu yang tidak dikenali di Taman Miharja di sini kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian itu hanya disedari seorang kakitangan syarikat berkenaan pada pukul 7.30 pagi ketika dia memulakan tugas.
“Pekerja wanita itu terkejut apabila dia naik ke tingkat dua bangunan pejabat terbabit lalu mendapati cermin pintu pejabat telah pecah.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan pekerja terbabit mendapati keadaan pejabat berselerak dan mengesyaki ia telah dipecah masuk lalu membuat laporan polis di balai berdekatan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, dari siasatan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua individu yang tidak dikenali telah dilihat memecah masuk melalui siling tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Pihak kami kini sedang meneliti rakaman CCTV dan menyiasat identity suspek yang dilihat di dalam rakaman CCTV berkenaan.
“Dilaporkan syarikat itu kehilangan wang tunai, jam tangan dan minuman keras yang jumlah keseluruhan bernilai RM231,900,” ujarnya.
Tambah Mazlan, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – UTUSAN ONLINE











