Maqis rampas 1,780 kg jambu air dari Thailand - Utusan Malaysia

Maqis rampas 1,780 kg jambu air dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sebanyak 1,780 kilogram (kg) jambu air di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Isnin lalu.

Kesemua jambu air dianggarkan bernilai RM8,900 itu dirampas dalam pemeriksaan yang dilakukan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) kira-kira pukul 10.45 pagi.

Pengarah Maqis negeri, P. Lily Rosalind berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang didapati membawa masuk buah tersebut dari Thailand tanpa dokumen sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi atau kesihatan tumbuhan dari negara asal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1,780 kg jambu air bernilai kira-kira RM8,900 yang cuba diseludup masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, peruntukan di bawah Peraturan Maqis (Akta 728) mewajibkan semua orang yang membawa barangan di bawah kawalan Akta Maqis untuk mengemukakan semua dokumen diperlukan termasuk permit daripada jabatan tersebut.

“Penahanan hasil pertanian ini bertujuan untuk mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian negara.

“Kerajaan akan menanggung kerugian yang tinggi jika kawalan penyakit ini tidak dikawal dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Menurut Lily Rosalind, kesemua jambu air tersebut dirampas dan syarikat pengimport akan dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi peraturan import.

“Syarikat pengimport terlibat boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan Maqis 2019,” katanya.
Selain itu, kata beliau, perbuatan mengimport sesuatu barang tanpa permit yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini