Wanita maut kereta rempuh bas - Utusan Malaysia

Wanita maut kereta rempuh bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang wanita berusia 34 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Nilai -Salak berhampiran Kampung Bukit Kadir di Nilai dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, G. Vinayagi yang memandu kereta jenis Perodua Myvi disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, wanita tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dan patah kaki kanan dan cedera tangan kiri dalam kemalangan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang wanita berusia 29 tahun yang memandu kereta Perodua Axia dan pemandu bas henti-henti berumur 48 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa bas itu dalam perjalanan dari Seremban ke pekan Nilai.

Menurut beliau, kereta Perodua Myvi yang berada di laluan bertentangan tiba-tiba termasuk ke laluan bas itu apabila tiba di lokasi kejadian.

“Akibat perlanggaran itu, kereta tersebut berpusing lalu dilanggar pula oleh kereta Perodua Viva. 

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke HTJ dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi,” katanya.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini