Wanita maut ditikam suami selepas bertengkar  - Utusan Malaysia

Wanita maut ditikam suami selepas bertengkar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang suri rumah maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di kediaman pasangan itu di Taman Seri Duyong Fasa Dua, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, ditemui mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa ditikam sebanyak empat kali oleh suspek di bahagian rusuk kanan sebelah hadapan serta belakang bahu sebelah kiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10 pagi dan pemeriksaan di lokasi menjumpai mayat seorang wanita dengan kesan empat kesan tikaman di badan.

“Seorang lelaki dipercayai suami kepada mangsa yang juga suspek kes ini turut ditemui cedera dengan dua kesan tikaman dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Seri Duyong Fasa Dua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasangan suami isteri itu ditemui oleh anak bongsu lelaki mereka berusia 25 tahun yang tinggal bersama, namun ketika kejadian difahamkan pemuda terbabit berada di dalam tandas.

Katanya, pemeriksaan di lokasi turut menjumpai sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 23 sentimeter yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dan suspek telah bertengkar di bahagian dapur sehingga ke kawasan garaj rumah berkenaan. Kita percaya mangsa cuba lari dari suspek berdasarkan lokasi mayat dijumpai.

“Berdasarkan semakan rekod dengan pihak hospital, suspek sebelum ini juga pernah mendapatkan rawatan psikiatrik dan ditahan pada Jun lalu atas kesalahan jenayah curi serta dadah,” katanya.

Afzanizar berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini