SELALUNYA apabila berkahwin, ramai akan berpesan supaya si isteri sentiasa menjaga penampilan demi kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.
Malah, lelaki yang bergelar suami juga mahukan isterinya sentiasa kelihatan cantik bukan untuk orang lain, tetapi untuk suaminya sendiri.
Namun, persoalannya adakah hanya isteri yang perlu menjaga penampilan? Bagaimana pula dengan suami? Adakah suami boleh tampil selekeh mahupun berperut buncit, sedangkan isteri dipaksa cantik dan menjaga badan.
Suami sebenarnya harus mengambil berat tentang penampilan diri mereka sebagaimana kaum wanita. Malah, Islam sendiri tidak pernah menghalang lelaki Muslim berhias untuk kelihatan tampan, apatah lagi menjaga badan dan penampilan itu adalah satu daripada sunah Rasulullah SAW.
Hatta, Rasulullah sendiri begitu menjaga penampilan dirinya agar sentiasa kemas dan rapi. Paling ketara adalah daripada segi bau badan sehinggakan Saidina Anas pernah berkata: “Belum pernah aku mencium suatu aroma sekali pun atau bau minyak wangi yang lebih harum daripada aroma atau wangi Nabi.” – Riwayat Bukhari
Malah, suami yang pulang dari tempat kerja juga seharusnya berada dalam keadaan yang cantik, seperti mana kita menasihati isteri agar menyambut suami dalam keadaan berhias, bukannya selekeh.
* Sumber buku: Asam Garam Rumahtangga Nabi











