Suri rumah maut ditikam suami selepas bertengkar - Utusan Malaysia

Suri rumah maut ditikam suami selepas bertengkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 3 Julai – Seorang suri rumah maut selepas ditikam sebanyak empat kali di badan oleh suaminya yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kejadian di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Duyong di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, yang sebelum itu meminta tolong dan cuba lari menyelamatkan diri ditemukan maut berlumuran darah di kawasan garaj rumahnya oleh jiran bersama suaminya yang turut terbaring cedera selepas menikam diri sendiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, anak lelaki bongsu pasangan itu berusia 25 tahun yang turut berada di rumah tersebut semasa kejadian bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara pasangan suami isteri tersebut bermula di bahagian dapur hingga berlarutan ke garaj rumah teres satu tingkat berkenaan sebelum mangsa ditikam menggunakan pisau pemotong sayur.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 10 pagi dan semasa tiba di tempat kejadian, polis menemui mayat mangsa wanita terbaring di kawasan garaj dengan empat kesan tikaman di rusuk kanan bahagian depan dan belakang bahu kiri.

“Suspek berumur 56 tahun yang cedera selepas menikam diri sendiri di bahagian perut sebanyak dua kali dibawa ke Zon Merah Hospital Melaka bersama anaknya bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala mayat isterinya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sebentar tadi.

MANGSA (kiri) bersama suaminya yang juga suspek. – UTUSAN ONLINE

Menurut Afzanizar, siasatan awal pihaknya turut menemukan pisau pemotong sayur berukuran 23 sentimeter yang digunakan suspek untuk menikam isteri dan dirinya di lokasi kejadian.

“Punca kejadian adalah disebabkan pergaduhan suami isteri namun motif pembunuhan masih dalam siasatan kerana kita masih belum sempat merakam percakapan mangsa serta saksi semas kejadian,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod dadah selain pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

“Pihak polis sedang dalam proses untuk mengesahkan bila kali terakhir dia mendapatkan rawatan tersebut,” katanya sambil berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini