KLANG – Seorang kontraktor kabinet dapur maut ketika pulang ke rumah dengan lehernya hampir putus selepas melanggar pintu belakang sebuah kenderaan di Jalan Banting Pandamaran di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang, Ler Kian Hooi, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisiner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Idaman selepas bekerja dari Banting.
Katanya, manakala Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 45 tahun juga dari arah yang sama.
“Kedua-dua mereka didapati membelok ke kanan di persimpangan Taman Pendamar Indah dengan mangsa berada di bahagian belakang.
“Kian Hoi dikatakan hilang kawalan tunggangan motosikalnya dengan leher mangsa hampir putus selepas dipercayai terkena pada pintu belakang kanan kereta itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Beliau menambah, mangsa yang mati di lokasi kejadian kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
Jelas beliau, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat kehilangan darah yang banyak susulan kecederaan parah di leher.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











