KUALA LUMPUR – Skyworth-RGB Electronics Co. Ltd. yang berpangkalan di Shenzhen, China menyasarkan untuk menjual lebih 20,000 televisyen pintar baharu, coocaa menjelang akhir tahun ini.
Skyworth yang bekerjasama dengan Lazada sejak Ogos 2018 berjaya menembusi beberapa pasaran di Asia Tenggara.
Pengurus projek coocaa, Daniel Huang berkata, selain dapat meningkatkan jualan barangan elektronik menerusi platform e-dagang, syarikat itu optimistik dapat memberi impak ke atas industri televisyen pintar.
“Kami sangat teruja untuk membawa coocaa ke Malaysia. Kami adalah jenama baharu dan inovatif yang menyasarkan pelanggan muda yang pintar digital dan menghargai definisi tinggi untuk tontonan dan permainan serta kesalinghubungan televisyen kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Huang berkata, coocaa boleh didapati secara eksklusif di Lazada dan berharap dapat melihat sambutan positif daripada rakyat Malaysia.
“Dengan akses Internet yang tinggi mencapai 87.4 peratus pada 2018 berbanding 76.9 peratus pada 2016, kami melihat peluang untuk pertumbuhan di Malaysia. Kami berhasrat untuk memenuhi tuntutan golongan muda yang merangkumi lebih daripada 50 peratus pengguna internet,” katanya. – BERNAMA











