PASIR GUDANG – Tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan komuniti setempat mengagihkan penutup mulut dan hidung dua buah sekolah di daerah ini terutama di kawasan dikesan berlaku pencemaran udara.
Penutup mulut dan hidung itu diedarkan secara berperingkat-peringkat di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tanjung Puteri Resort.
Pemberian penutup mulut dan hidung itu dilakukan sebelum permulaan sesi persekolahan pada pukul 6.45 hingga 7.10 pagi ini di SMK tersebut manakala agihan kedua dilakukan sebelum sesi persekolahan petang bermula di SK berkenaan bermula pukul 11.45 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari.
NGO yang terlibat adalah Pasukan Sukarelawan Remaja Ku Sayang, Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam di Sungai Kim Kim dan Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan Orang Kurang Upaya (OKU) Johor Bahru.
Presiden persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Malik berkata, sebanyak 1,300 penutup mulut dan hidung diedarkan pada hari ini di dua sekolah berkenaan.
“Kita edarkan penutup mulut dan hidung jenis N95. Di samping itu kita turut mengedarkan 400 air kotak susu kepada pelajar-pelajar berkenaan supaya mereka ada daya tahan badan yang kuat.

“Pada esok pula kita akan mengedarkan lagi 1,300 penutup mulut dan hidung dan 300 air kotak susu untuk dua sesi yang sama di SMK Taman Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Taman Tanjung Puteri Resort.
Seramai 10 sukarelawan daripada tiga NGO berkenaan terlibat mengagihkan bantuan berkenaan selain memberikan nasihat dan peringatan kepada pelajar supaya menjaga kesihatan masing-masing.
Jamaluddin berkata, sumbangan penutup mulut dan hidung itu diberikam sebuah kilang dari Kuala Lumpur serta hasil kutipanTabung Prihatin Pasir Gudang.

Jelasnya, tabung berkenaan dilancarkan secara atas talian dalam Facebook NGO berkenaan sejak gelombang kedua pencemaran berlaku pada 20 Jun lalu.
Hasilnya kata beliau, berjaya mengutip RM500 dan dana itu digunakan untuk membeli penutup mulut dan hidung serta air kotak susu sebelum diagihkan di empat buah sekolah berkenaan.
Beliau berharap pihak kerajaan dan swasta akan membantu mereka dengan menyumbangkan lebih banyak penutup mulut dan hidung untuk diberikan percuma kepada pelanar di sini. – UTUSAN ONLINE











