KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, diheret turun oleh jualan berterusan saham wajaran tinggi dalam sektor kewangan susulan aktiviti pengambilan untung.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.66 mata kepada 1,685.34 berbanding 1,691.0 pada penutupan Selasa.
Indeks bergerak antara 1,683.82 dan 1,689.71 pada sesi dagangan pagi.
Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 399 berbanding 283, manakala 391 kaunter tidak berubah, 767 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.82 bilion unit bernilai RM742.54 juta.
Pada tengah hari, lima daripada tujuh saham wajaran tinggi berkaitan kewangan, kecuali Hong Leong Financial dan Public Bank, susut, dengan CIMB mengalami kerugian terbesar, sebanyak 1.47 peratus atau lapan sen kepada RM5.36.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya hari ini berkata susulan keuntungan baru-baru ini yang menyaksikan indeks utama ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan semalam, kedudukan bercampur-campur kini mendominasi dengan Saham FBM Bermodal Kecil masih kukuh manakala FBM ACE dan indeks berkaitan menuju ke arah bertentangan.
“Keuntungan baru-baru ini juga telah menyebabkan indeks FBM bermodal kecil mendorong ke arah zon terlebih beli, dan berlaku penurunan dengan penggiat pasaran membuat keuntungan,” katanya, sambil menambah pada masa yang sama, penyertaan pasaran juga merosot, yang boleh mengakibatkan aktiviti pengambilan untung berterusan. -BERNAMA











