Warga Myanmar antara didakwa libatkan penjualan arak haram - Utusan Malaysia

Warga Myanmar antara didakwa libatkan penjualan arak haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret L. Umma Devi terhadap tiga pertuduhan melibatkan penjualan arak haram di Mahkamah Majistret 1, di sini pagi tadi.

Mengikut pertuduhan pertama, Hla Win, 50, bersama rakannya G. Gunaselan, 41, dituduh secara bersama melakukan kesalahan itu di alamat 21 Jalan Kajang di sini, pukul 6.18 petang 24 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh memilki dan menyembunyi lapan jenis barangan tidak berkastam iaitu 216 botol visky Extra Special; 888 botol jenama high class visky; 312 botol Myanmar Visky Extra Special; 300 botol Grand Royal Visky; 18 botol Brandy Cap Kapak; 160 botol Royal Club 99 Visky; 2,328 tin Eldiablo Super Strong Brew Larger Beer, 1,152 tin Miludeer Extra Strong Beer yang nilai keseluruhannya RM42,882.94.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 134 (1) (iii) (aa) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengilang samsu haram di alamat, tarikh dan waktu yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Membaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang empat tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Untuk pertuduhan ketiga, kedua-duanya dituduh melakukan dan menawarkan untuk melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk atau bagi maksud memperdagang samsu haram.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang empat tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan pertama serta masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam kepada Hla Win, Andy Ooi dalam rayuannya meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai pasport dan pas pekerja yang sah serta mempunyai dua anak di sini berusia empat dan enam tahun yang dijaga jirannya selain sedia memenuhi apa-apa syarat ditetapkan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan masing-masing sebanyak RM10,000; RM6,000 dan RM7,000 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap Isnin di balai polis terdekat sepanjang jaminan berkuat kuasa.

Sementara itu, peguam Gunaselan, M. Priya dalam rayuannya menjelaskan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain perlu menyara tiga anak berusia satu hingga 16 tahun serta ibu yang menghidap penyakit diabetes.

Mahkamah kemudiannya menetapkan masing-masing sebanyak RM8,000; RM5,000 dan RM6,000 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan seorang penjamin terhadap Gunaselan.

Umma Devi turut menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh semakan semula kes.

Sebelum ini, dua lelaki tempatan dan empat warga asing dilaporkan maut akibat keracunan metanol selepas meminum arak buatan sendiri dalam beberapa kejadian di sekitar Georgetown di sini, sejak dua bulan lalu.

Selain itu, seramai tujuh lagi lelaki warga asing juga dilaporkan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat meminum arak buatan sendiri tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini