ALOR SETAR – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di dalam kotak di tepi Jalan Jelai berhampiran sebuah sekolah di sini hari ini.
Bayi yang berbalut dengan kain tersebut ditemui seorang lelaki berusia 40 tahun kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi baru lahir itu pada pukul 8.20 pagi.
“Bayi ditemui di tepi jalan kira-kira 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Darul Hikmah, Jalan Jelai di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kereta peronda polis digerakkan menghala ke lokasi dan mendapati bayi tersebut masih hidup.
“Bayi telah diberikan susu dan ditukar lampin oleh seorang perempuan yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah berkenaan,” ujarnya.
Menurut Mohd. Rozi, bayi kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan menggunakan ambulans.
“Bayi kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai polis berhampiran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











