SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Pakistan ditahan polis selepas didakwa mencabul dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang pekerja wanita di sebuah kedai pakaian di Telok Ayer Tawar, Butterworth di sini kelmarin.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah kira-kira pukul 2 petang semalam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa mendakwa telah ditolak secara tiba-tiba oleh suspek ketika bekerja sehingga dia terjatuh.
“Suspek didakwa telah mencium mulut mangsa sebelum membuka zip seluarnya dan menunjukkan kemaluan ke arah mangsa.
“Wanita itu kemudiannya cuba bangun untuk lari dan sekali lagi suspek memeluknya dari arah belakang sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Noorzainy berkata, hasil kepantasan pihaknya bertindak sejurus menerima laporan daripada mangsa, suspek berjaya ditahan kurang 24 jam selepas kejadian tersebut.
“Siasatan awal polis terhadap suspek mendapati dia mengaku melakukan perbuatan itu dan turut menawarkan RM20 untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354/509 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











