PARIT 3 Julai – Seorang pembantu ladang berdepan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah bulan lalu.
Abdul Rahman Abu bakar, 43, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusuf.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan kesalahan bunuh ke atas Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, antara pukul 2 hingga 2.45 petang di Jalan Kenanga 8, Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah pada 23 Jun lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Zulkiflee Mohd. Ghani mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Majistret Nazratul Natrah menetapkan 21 Ogos ini untuk tarikh sebutan semula bagi lantikan peguam dan penyerahan laporan bedah siasat mangsa.
Akhbar pada 24 Jun lalu melaporkan Badrul Hisham yang juga duda anak tiga itu maut setelah mengalami kecederaan parah akibat dibelasah menggunakan sebatang kayu yang berpaku.
Kejadian berlaku ketika mangsa menghantar isteri tertuduh pulang ke rumah setelah mereka keluar ke Teluk Intan untuk membeli barang.
Kejadian bermotifkan cemburu itu dipercayai berlaku apabila tertuduh mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.-UTUSAN ONLINE











