REMBAU – Cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai sekiranya masih ada dalam kalangan rakyat yang bertindak sebagai ejen penyebar fitnah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, untuk mencapai status maju, negara bergantung kepada rakyat yang berfikiran terbuka dan lebih ke hadapan serta tidak mudah terpedaya dengan menyebarkan bahan yang tidak mendatangkan sebarang hasil.
“Saya mahu Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara kementerian saya, memulakan budaya baharu iaitu sekiranya ada maklumat yang kita terima tetapi tidak membina negara hentikan ia serta-merta. Jangan jadi penyebar atau tukang sambung-sambung.
“Tetapi kalau ada dasar negara seperti ekonomi dan pendidikan, yang ini kita kena sebar, barulah kita boleh jadi negara maju kerana rakyat juga berfikiran maju dan ke hadapan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Sembilan anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Dewan Seri Rembau di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baharu negeri, Teo Kok Seong dan Pengerusi Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nazri Yunos.
Lebih 2,000 orang terdiri daripada masyarakat pelbagai peringkat hadir dalam majlis tersebut.
Zuraida berkata, beliau berharap lebih ramai orang akan menyertai gabungan NGO tersebut dan bersama-sama membantu kerajaan menyebarkan maklumat kepada rakyat.
“Maklumat gabungan NGO ini adalah untuk membolehkan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan betul yang mampu membawa Malaysia pada kedudukan lebih tinggi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











