KUALA LUMPUR 2 Julai – Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini mengecam dan menolak sekeras-kerasnya amalan plagiat dan mengambil hasil kerja pihak lain membabitkan segelintir ahli akademik demi kepentingan peribadi.
Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, amalan tersebut bukan sahaja mencemarkan sistem pendidikan, malahan menyalahi undang-undang universiti.
Sehubungan itu katanya, UiTM mewajibkan penggunaan aplikasi Turnitin bagi mengukur tahap plagiat dalam hasil penulisan sebagai salah satu inisiatif untuk memastikan tiada aktiviti guna semula tugasan dan penulisan pelajar dan warga oleh pihak lain tanpa persetujuan.
“Aplikasi ini digunakan untuk menyemak tugasan bertulis pelajar (tesis dan laporan penilaian pelajar tahun akhir) bagi mengenal pasti ketulenan penulisan dengan membandingkannya kepada sumber-sumber capaian di Internet, hasil tulisan pelajar lain dan semakan bersilang berdasarkan pangkalan data Turnitin.
“Aplikasi yang telah mula digunakan semenjak tahun 2009 di UiTM ini telah memperoleh sebanyak 30,000 lesen setahun dan penggunaannya di seluruh sistem UiTM sentiasa berada pada tahap yang optimum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Azraai berkata, pihak universiti sentiasa memberi peringatan dan kesedaran tentang perkara-perkara yang melanggar etika akademik khususnya kepada semua warga melalui pelbagai medium dan kaedah.
“Ini termasuklah kepada pihak pengurusan semasa mesyuarat senat, kepada staf fakulti semasa mesyuarat dengan dekan, dan kepada pelajar semasa minggu orientasi.
“Kod Nilai dan Etika Warga UiTM turut memberikan penekanan kepada staf untuk menjalankan penyelidikan yang asli dan berkualiti berpandukan kepada budaya penyelidikan yang baik termasuklah menjalankan penyelidikan secara jujur dan berintegriti serta mengelakkan konflik kepentingan, dan mengiktiraf peranan serta sumbangan semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











