SAUDARA PENGARANG,
TIGA orang cedera dan sepasang warganegara Indonesia mati dalam kemalangan di tapak pembinaan bangunan tempat letak kereta bertingkat berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak, Selangor pada 23 Mei lalu.
Perkara itu bukan kali pertama berlaku kerana mengikut perangkaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 711 pekerja terbunuh semasa bekerja pada 2017 dengan 183 kematian di tapak pembinaan.
Kerja pembinaan yang sedang berjalan di negara ini adalah penyumbang utama kepada ekonomi, malangnya keselamatan pekerja (terutama buruh kasar) tidak diberikan keutamaan seolah-olah nyawa mereka begitu murah sekali.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menjalankan beberapa tinjauan di tapak pembinaan dan mendapati pekerja tidak memakai pakaian keselamatan seperti topi keselamatan, peralatan perlindungan daripada jatuh, jaket keselamatan, sarung tangan dan alat perlindungan pendengaran.
Bagi mengelak situasi ini berterusan, CAP ingin menyarankan perkara berikut bagi menambah baik keselamatan di tapak kerja.
Pertama, bagi setiap tapak kerja, mestilah terdapat seorang perunding dedikasi yang menjaga keselamatan secara keseluruhannya. Mereka mestilah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kemalangan yang boleh dielakkan berlaku di tapak kerja.
Kedua, JKKP mestilah menjalankan pemeriksaan mengejut (tidak diumumkan) di semua tapak kerja.
Ketiga, JKKP perlu menguatkuasakan undang-undang dengan tegas. Sebagai ganti menasihati dan merayu mereka yang melakukan kesalahan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan, ia sepatutnya mengenakan denda maksimum bagi kesalahan pertama untuk menjadi pengajaran bahawa keselamatan pekerja adalah perkara yang serius.
Keempat, denda RM50,000 pada masa kini dan penjara tidak lebih dua tahun tidak mencukupi dan hanya menggalakkan pelanggaran undang-undang memandangkan ia lebih murah untuk berbuat demikian berbanding mematuhi undang-undang.
Denda mestilah dinaikkan kepada tidak lebih daripada 10 peratus daripada kos projek atau tidak kurang daripada dua tahun penjara atau majikan yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan kerana membunuh dalam kes kematian.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Pemangku Presiden CAP











