JEMPOL – Mayat lelaki yang ditemukan dalam tangki air di Felda Palong 12 di sini pada Mac lalu disahkan sebagai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub, Pahang, Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishammuddin Hashim berkata, identiti lelaki itu disahkan berdasarkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh baru-baru ini.
“Keputusan ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Muhammad Aiman Hakim,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 25 Mac lalu, penemuan mayat itu disedari pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn.Bhd. (Sains) ketika memeriksa paras air di tangki di Felda Palong 12.
Susulan itu, keluarga Muhammad Aiman Hakim percaya ia mayat pelajar tersebut yang hilang selepas keluar dari rumah mereka di Desa Keratong, Bandar Tun Razak, Pahang dengan menunggang motosikal jenis Modenas MR1 pada 9 Julai 2018.
Ini berdasarkan pakaian yang dipakai mayat selepas keluarga itu dipanggil membuat pengecaman oleh pihak polis.
Mangsa merupakan penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik di UiTM Cawangan Raub. – UTUSAN ONLINE











