KUALA LUMPUR – Final edisi ke-30 Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Julai ini bakal terpahat dalam buku Malaysia Book of Records apabila lebih 80,000 penonton Perak dan Kedah dijangka bergabung melakukan ‘viking clap’.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd. Shazli Shaik Mohd. berkata, ‘viking clap’ adalah pendekatan baharu untuk menyemai perpaduan sesama penyokong dan usaha sudah mendapat persetujuan daripada Malaysia Book Of Records.
Kanya, bagi menjayakan perkara itu, kerjasama penyokong Perak dan Kedah amat ditagih kira-kira 10 minit bermula dari jam 8.30 malam pada hari perlawanan.
“Selain bertujuan menghangatkan lagi final Piala FA 2019, Malaysia Book Of Records turut hadir bagi mengesahkan aktiviti ‘viking clap’ yang bakal dicatat sebagai rekod terbesar di negara ini.
“MFL cukup teruja menyaksikan satu pendekatan baharu dalam dunia bola sepak tempatan dan berharap kesemua penyokong dapat menjayakan aktiviti ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shazli berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan padang akan berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan.
Padang di Bukit Jalil tidak akan digunakan bermula hari ini sehingga perlawanan berlangsung.
“Kerja penambahbaikkan juga dilakukan sekali gus memberi jaminan bahawa padang akan berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi final.
“Buat kali pertama final akan berlangsung empat minggu selepas aksi separuh akhir.
“Ia memberi tempoh yang cukup untuk pasukan dan penganjur membuat persiapan rapi,” kata Mohd. Shazli lagi. – UTUSAN ONLINE











