MALABO 2 Julai – Pelbagai koleksi kereta mewah bernilai AS$13 juta (RM53.8 juta) milik Naib Presiden Equatorial Guinea, Teodoro Nguema Obiang Mangue yang dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah, akan dilelong pada akhir tahun ini.
Menurut laporan portal berita CNN, acara lelong anjuran firma lelongan Bonhams itu akan diadakan pada 29 September ini di Geneva, Switzerland.
Jelas laporan itu, pihak berkuasa Switzerland merampas sebanyak 11 kenderaan mewah daripada anak kepada pemimpin negara Afrika Tengah itu pada 2016 selepas siasatan atas dakwaan pengubahan wang haram.
Antara kenderaan tersebut adalah model Lamborghini Veneno Roadster, jenis kereta yang hanya dikeluarkan sebanyak sembilan buah bagi meraikan ulang tahun ke-50 Lamborghini, dianggarkan bernilai lebih AS$5.1 juta (RM21.1 juta).
Selain itu, kereta mewah model baharu Ferrari, LaFerrari yang dianggarkan bernilai lebih 2.5 juta euro (RM11.7 juta), manakala kereta Koenigsegg One:1 dijangka dilelong lebih 2 juta euro (RM9.35 juta).
Tambah laporan itu, terdapat beberapa lagi model kereta dalam koleksi tersebut termasuk McLaren P1, Aston Martin One-77 dan Bugatti Veyron.
Polis Geneva menyita kenderaan mewah itu di kawasan kargo lapangan terbang di Geneva pada 2016 selepas prosiding jenayah dibuka terhadap pemimpin berkenaan, dengan ‘selera mewahnya’ menjadi subjek siasatan oleh pihak berkuasa di beberapa negara.











