3.25 juta tetamu Airbnb di Malaysia - Utusan Malaysia

3.25 juta tetamu Airbnb di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Airbnb, syarikat hospitaliti global, telah menerima kehadiran 3.25 juta tetamu di Malaysia dalam tempoh 12 bulan bermula 1 Julai 2018 sehingga 1 Julai lalu.

Pengurus Besar Airbnb Asia Tenggara, Hongkong dan Taiwan, Mike Orgill berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan 73 peratus tahun ke tahun.

Menurut beliau, negara ini yang memiliki lebih 53,000 kediaman Airbnb merupakan pasaran pa­ling berkembang buat Airbnb di Asia Tenggara buat tahun kedua berturut-turut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, pertumbuhan pesat Airbnb di negara ini disokong pelbagai perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri, yang mana untuk tempoh dua minggu dari 26 Mei hingga 9 Jun 2019, 9,700 hos Airbnb menerima lebih 197,000 tetamu yang mendatangkan pendapatan sebanyak RM27.6 juta.

“Berdasarkan kajian impak ekonomi langsung Airbnb 2018, komuniti hos dan tetamu Airbnb telah menyumbang kira-kira RM3 bilion dalam ekonomi Malaysia sepanjang tahun lalu.

“Jumlah tersebut diperoleh daripada jumlah keseluruhan pendapatan hos Airbnb untuk tahun 2018, ditambah anggaran perbelanjaan tetamu Airbnb daripada kaji selidik yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung perkembangan perniagaan Airbnb di sini semalam.

Menurut Orgill, Malaysia merupakan pasaran ke-15 paling besar bagi Airbnb di seluruh dunia, manakala bandar raya Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-20.

“Menuju ke hadapan, kami berhasrat untuk menambah penawaran kediaman yang unik dan autentik, seperti rumah panjang di Sarawak.

“Pada 2018, bilangan ketibaan tetamu Airbnb yang berkunjung ke kawasan kurang dikenali telah meningkat dan kawasan seperti Sibu, Sarawak dan Semporna, Sabah telah menunjukkan pertumbuhan terpantas iaitu sebanyak 290 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Mengulas mengenai cukai pelancongan yang dikenakan kepada hos Airbnb di negara ini, Orgill menjelaskan, pihaknya sedang berbincang dengan pihak kementerian.

“Kami berpendapat bahawa cukai pelancongan perlu dikenakan kepada semua, sama ada Airbnb atau hotel lima bintang bagi memastikan semua pemain dapat bersaing pada paras yang sama.

“Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk proses pendaftaran hartanah hos Airbnb dan ia sepatutnya mudah serta boleh dilakukan secara online,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini