Bakal buruh maut terseret, tersepit di belakang lori - Utusan Malaysia

Bakal buruh maut terseret, tersepit di belakang lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS 2 Julai – Seorang penunggang motosikal maut selepas terseret serta tersepit apabila motosikal ditunggangnya melanggar bahagian tayar belakang sebuah lori membawa kelapa sawit di Jalan Sawah Baru-Pekan Air Panas pukul 3.30 petang tadi.

Mohamad Saiful Nizar,22, meninggal dunia di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sawah Baru selepas pulang dari sebuah klinik untuk menjemput ibu saudaranya.

Rokiah Md. Jim ,68, berkata, cucu sulungnya itu sebelum itu keluar rumah pukul 2.30 petang untuk menghantar ibu saudaranya, Suzana Alwi, 49, untuk mendapatkan rawatan di Klinik Pekan Air Panas, sementara menunggu selesai mendapatkan rawatan dia pergi bertemu seorang rakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak lama selepas itu dia menelefon saya memberitahu makciknya tiada di klinik ketika dia sampai semula di sana untuk menjemputnya. Saya suruh dia balik kerana makciknya mungkin menumpang orang lain untuk pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung itu hari Ini.

Katanya, dia terperanjat dan bagai tidak percaya cucunya sudah tiada ketika dimaklumkan jiran yang terserempak dengan kemalangan tersebut kerana baru bercakap di telefon tidak sampai 10 minit dengan cucunya.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian tayar belakang lori selepas terlib
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian tayar belakang lori selepas terlibat kemalangan di Jalan Sawah Baru-Pekan Air Panas, Labis, Johor pukul 3.30 petang tadi. – UTUSAN ONLINE

Menurut Rokiah, sebelum ini cucunya juga sering mengadu bermimpi kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia mengajaknya tinggal bersama sejak kebelakangan ini.

Begitu juga dia tidak menyangka sikap pelik mangsa memasak pada pukul 3 pagi malam tadi dan merasakan itu adalah petanda cucunya itu akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Dia begitu teruja untuk mula bekerja sebagai buruh di projek Landasan Kereta Berkembar Gemas-Johor Bahru di kawasan Labis pada minggu hadapan dan saya terkilan hajatnya tidak kesampaian.

“Dia seorang pendiam dan banyak membantu adik-adiknya di mana dua orang masih lagi bersekolah sejak kematian kedua ibu bapanya beberapa tahun lalu dan motosikalnya dibeli menggunakan wang simpanan bantuan kelas pendidikan khasnya beberapa bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.50 petang sebelum mengejarkan tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera serta kenderaan Utiliti Urvan ke lokasi kejadian.

“Kami terpaksa menggunakan Telescopic Resq Ram bagi mengangkat belakang lori dan mengeluarkan mangsa yang terseret serta tersepit di bahagian tayar belakang sebelah kiri lori yang membawa kelapa sawit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini