KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup tinggi hari ini di tengah-tengah jangkaan pengeluaran rendah bagi minggu-minggu akan datang, kata peniaga.
Pakar Produk Derivatif Phillip Futures Sdn. Bhd., David Ng berkata, bagaimanapun kenaikan itu dihadkan oleh permintaan eksport yang berkurangan sekali gus menyaksikan dagangan Julai rendah.
Beliau berkata, berdasarkan data Persatuan Pengilang-pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan, pengeluaran pada Jun susut 15.03 peratus berbanding Mei tahun ini dan penurunan tersebut mendorong jangkaan pengurangan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang.
Sementara itu, menurut penyelidik kargo Intertek Testing Services pada Jumaat, eksport produk kelapa sawit Malaysia bagi Jun turun 19.9 peratus kepada 1.34 juta tan daripada 1.68 juta tan yang dihantar pada Mei menunjukkan permintaan eksport yang lebih perlahan.
Pada penutup pasaran, Julai 2019 dan Ogos 2019 masing-masing meningkat RM14 kepada RM1,904 dan RM1,944 satu tan manakala September 2019 dan Oktober 2019 masing-masing meningkat RM9 kepada RM1,967 dan RM2,001 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 46,579 lot daripada 38,356 lot pada Isnin sementara minat terbuka naik kepada 265,825 kontrak daripada 257,114 kontrak.
Di pasaran fizikal, Selatan Julai naik RM10 kepada RM1,920 satu tan daripada RM1,910 satu tan pada Isnin. – BERNAMA











