100,000 rumah setahun tidak realistik - Utusan Malaysia

100,000 rumah setahun tidak realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Julai – Sasaran pembinaan rumah mampu milik seba­nyak 100,000 dalam tempoh setahun mungkin tidak dapat dicapai kerana ia melibatkan pelbagai proses dan mengambil masa yang lama.

Naib Presiden Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk N K Tong berkata, proses mengambil alih tanah, mendapatkan kelulusan, tender projek malah proses pembinaan rumah akan mengambil masa dua ­tahun.

Katanya, perkara ini dihadapi oleh pemaju tidak kira pemaju kerajaan atau swasta, apa yang dapat dicapai pada 2019 adalah berdasarkan usaha telah dilaksanakan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, penanda aras 100,000 rumah mampu milik setahun mungkin tidak ­realistik, tetapi jika sejuta rumah mampu milik bagi sepuluh tahun penuh, mungkin terdapat momentum untuk merealisasikannya.

“Matlamat kerajaan dalam mewujudkan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun boleh dicapai jika ia dirancang dengan baik dan ­diberi masa.

“Kerajaan juga perlu laksana usaha bersepadu dengan pihak berkepentingan terutama Kementerian Perumahan, pemaju dan persatuan pembeli rumah,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Persidangan Antarabangsa Bandar Lestari Bertaraf Dunia 2019 (WCSC 2019) ke-11 di sini hari ini.

Kad Laporan Projek Pantau edisi kedua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) minggu lalu menyenaraikan beberapa projek yang berada dalam masalah antaranya membina satu juta unit rumah mampu milik dengan purata 100,000 unit setahun.

Menurut IDEAS, rancangan itu tidak jelas disebut dalam dasar perumahan baharu.

Sementara itu, REHDA Kuala Lumpur bersama Institut Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) akan menganjurkan WCSC 2019 pada 19 September ini di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Presiden MIP, Ihsan ­Zainal Mokhtar berkata, ciri-ciri bandar bertaraf dunia bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan yang rancak dan bangunan tinggi semata-mata, tetapi aspek lain yang membuatkan penduduk gembira perlu diberi perhatian.

“Kuala Lumpur buat masa ini berada pada kadar 70 peratus untuk mencapai status bandar bertaraf dunia dan antara masalah dihadapi adalah pe­ngangkutan awam yang masih belum menghubungkan secara menyeluruh.

“Jika sesebuah bandaraya itu mempunyai sistem pe­ngangkutan awam yang baik, tidak ramai akan memandu kereta seterusnya dapat me­ngurangkan kesesakan dan pembebasan gas karbon dioksida,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini